AKAR JERLUN 2010 adalah kejohanan Kayak Air Tenang yang julung-julung kalinya diadakan di Negara ini. Bertempat di Jerlun, Kedah Darul Aman, pelumba akan menyusuri sungai serta terusan pengairan yang merupakan nadi kehidupan masyarakat setempat yang sebilangan besarnya menjayakan Periuk Nasi Negara.
Jerlun yang terletak di utara negeri Kedah bersempadankan negeri Perlis Indera Kayangan, adalah sebuah bumi yang hijau berhamparkan sawah bendang sejauh mata memandang. Ianya juga kaya dengan sejarah serta peninggalan dahulukala. Kota Seputeh pernah menjadi ibu kota negeri Kedah dan menjadi tempat persemadian Puteri Lindungan Bulan. Gua Kerbau di Kodiang pula merupakan sebuah gua batu kapur yang pernah didiami masyarakat purba. Peninggalan mereka dalam bentuk lukisan serta lakaran masih boleh dilihat di dinding-dinding gua tersebut.
Sebuah kejohanan Kayak yang berbentuk maraton, Akar Jerlun bermula pada 23 hingga 25 Julai 2010. Laluan kejohanan merentasi 53km sungai dan dianggarkan seramai 1500 peserta akan mengambil bahagian.
Perkampungan Kejohanan di Sg Korok berkonsepkan jambori di mana khemah-khemah kediaman akan didirikan. Pusat media serta urusetia akan disediakan untuk kemudahan komunikasi. Selain itu, bazaar jualan, pameran serta pentas seni turut dianjurkan bermula 21 Julai 2010.
Sebagai sebuah program, Akar Jerlun adalah unik kerana ia menggembeling tenaga serta kerjasama masyarakat Jerlun dari semua lapisan masyarakat tanpa mengira latarbelakang agama mahupun bangsa. Setiap kelompok masyarakat mengambil bahagian di dalam penganjuran kejohanan ini. Ini adalah sebahagian daripada usaha pemimpin setempat bagi meningkatkan kecekapan, pendedahan serta kebolehan masyarakat secara keseluruhannya agar Jerlun boleh disediakan sebagai lokasi sebarang bentuk aktiviti juga kejohanan yang berteraskan komuniti dan kehijauan di masa-masa hadapan.
Pada tahun ini, Akar Jerlun membuka penyertaannya kepada 4 kategori iaitu Terbuka Kebangsaan, Tertutup Kedah, Tertutup Institut Pengajian Tinggi dan Tertutup Institut Perguruan.